Sunday, April 18, 2010

Swisscash: Mahkamah meluluskan kriteria untuk pengembalian

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mendapat kelulusan Mahkamah Tinggi mengenai kriteria kelayakan bagi pengembalian wang pelabur-pelabur Swisscash.

Perintah tersebut, yang dibuat oleh Hakim Dato' Abdul Aziz bin Abdul Rahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan Pentadbir skim penipuan pelaburan Swisscash untuk membuat bayaran kepada pelabur-pelabur yang layak, daripada himpunan dana berjumlah RM32.7 juta.

Himpunan dana itu dibuat ekoran daripada penyelesaian yang dibuat dengan dua defendan dalam skim penipuan pelaburan Swisscash, Albert Lee Kee Sien dan Amir Hassan, pada 6 November 2009.

PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd, Pentadbir yang dilantik oleh SC untuk menguruskan proses pengembalian itu, pada bulan Januari tahun ini telah mengeluarkan iklan meminta pelabur yang terlibat supaya mengemukakan tuntutan masing-masing.

Berikutan dengan iklan tersebut, Pentadbir telah menerima dan memproses hampir 24,000 tuntutan. Pentadbir juga telah membantu SC dalam menentukan kriteria kelayakan bagi pelabur yang kemudiannya diserahkan oleh SC kepada Mahkamah untuk kelulusan. Pentadbir akan membuat bayaran kepada pelabur yang layak mulai hari ini.

SC ingin mengingatkan para pelabur bahawa tuntutan mereka adalah tertakluk kepada kriteria bagi pengembalian sebagaimana yang diluluskan oleh Mahkamah. Oleh itu, bukan semua pelabur akan mendapat pengembalian wang mereka memandangkan kriteria yang diluluskan oleh Mahkamah memerlukan bukti tertentu pelaburan dan pembayaran bagi membolehkan seseorang pelabur layak mendapat bayaran pengembalian tersebut. Selain itu, memandangkan dana tersebut adalah terhad dan lebih kecil daripada jumlah keseluruhan tuntutan yang diterima, pelabur yang layak tidak akan mendapat tuntutan mereka sepenuhnya.

Mereka yang telah mengemukakan tuntutan boleh melayari laman web Pentadbir di http://www.administrator-swisscash.com.my/ dan mengisi butir-butir lengkap peribadi mereka. Mereka kemudiannya akan menerima suatu notis melalui e-mel atau SMS untuk mengesahkan sama ada mereka layak atau tidak. Jika layak, mereka akan menerima cek melalui pos.

Permohonan dan Afidavit yang menyokong permohonan bagi kriteria kelayakan boleh dilihat di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Kuala Lumpur, 15 April 2010

No comments:

Post a Comment